ADA si teruna yang lambat menyatakan  hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga  halnya dengan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan  calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu  akhirnya turut terlepas peluang.
IKAT  PERTUNANGAN...tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran  terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku  itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran. 
Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.
Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. 
Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita. 
Lihat  saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi  Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya  dengan Rasulullah agak jauh. 
Bagaimana  dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita  semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya. 
Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi. 
Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya? 
Mungkin kaum wanita menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan. 
Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya. 
Wanita  meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah  meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu  Bakar untuk puterinya Siti Habsah. 
Jika  mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah  peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa  malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang  lebih baik untuk mereka. 
Pernah  pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan  dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon  yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah. 
Jelas  Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan  syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat. 
Sebuah  hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang  menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah  kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan  wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan  rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya...!” Anas berkata  kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang  kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)
Pendakwah  dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol  Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman. 
“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya. 
“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama. 
“Umpamanya,  wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang  yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar. 
“Jika  diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah  tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah  melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.
Pahrol  berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah  Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya. 
“Kedua-dua  cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki  yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang  sangat terpuji. 
“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan. 
Mereka  perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan  aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,”  katanya.
Beliau  berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk  keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi  ini. 
“Ini  misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah  masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada  lelaki kepada wanita. 
“Wanita  tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang  dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah  aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap  hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah. 
“Bagaimana  umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita  yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai  pasangannya,” katanya. 
Berdasarkan  sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan  keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika  menjalankan perniagaan. 
“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.
“Sepanjang  bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad  memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya  Siti Khadijah. 
“Khadijah  mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang  diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa  saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi  Muhammad.
“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya. 
Beliau  menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak  dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar. 
“Carilah  saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan  kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk  meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk  membuat keputusan yang belum ada. 
“Orang  yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja  mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi  turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.
“Selepas  menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian  segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan  meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.
Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.
“Penangguhan  itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak  selamatkan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak  bertanggungjawab. 
“Jadi,  berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat  keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia  bertentangan dengan syariat dan fitrah. 
“Golongan  yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam  kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa  letih untuk melakukan maksiat,” katanya.
Beliau  berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya  dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah. 
“Orang  yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam  sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat  mereka,” katanya.
Wallahu'alam. Wassalam
perkongsian dari rakan blogger : mujahid86 dan tinta al-murabbi dan musafir ilmu..
Read more...